Isnin, 5 September 2016

tulang retak-patah


PENYELIDIK dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Elvy Suhana Mohd. Ramli dan pasukan penyelidiknya mendapati bahawa daun kaduk atau Piper Sarmentosum mengandungi bahan penawar untuk mencegah tulang retak dan mempercepatkan penyembuhan retakan tulang.
Daun tumbuhan yang biasa digunakan dalam masakan masyarakat Asia Tenggara itu dipercayai mengandungi antioksida yang membantu melindungi tulang daripada penyakit osteoporosis.
Ia juga secara tradisi merawat pelbagai penyakit seperti keradangan, dermatitis dan sakit sendi.
Dr. Elvy Suhana memberitahu, daun kaduk berupaya menghalang ungkapan gen dalam tisu adipos dan tulang yang membuat struktur tulang menjadi rapuh.
Kajian ke atas tikus makmal menunjukkan ciri-ciri antioksidan melalui sebatian flavonoid iaitu naringenin bertindak membantu sistem pertahanan antioksida endogen untuk melindungi tulang daripada osteoporosis.
Pasukan penyelidik terdiri daripada Prof. Dr. Ima Nirwana Soelaiman, Prof. Dr. Farihah Suhaimi, Prof. Dr. Srijit Das, Prof. Dr. Ahmad Nazrun Shuid dan Dr. Siti Fadziyah Mohd. Asri.
Mereka memberi tumpuan kepada kesan penawar pati daun kaduk terhadap penyembuhan tulang retak pada tikus yang ovarinya dikeluarkan, selain kesan perlindungan terhadap tikus yang menghidapi osteoporosis akibat glukokortikoid.


DAUN kaduk banyak digunakan dalam makanan tradisi di Asia Tenggara.


Osteoporosis adalah suatu penyakit kehilangan jisim dan kekuatan tulang yang membawa kepada peningkatan risiko patah, ia biasa dihidapi oleh wanita telah putus haid.
Rawatan glukokortikoid adalah punca utama osteoporosis sekunder. Tindakan glukokortikoid dalam tulang bergantung kepada ungkapan jenis 1 enzim 11 Beta-Hydroxysteroi dDehydrogenase.
Keadaan kekurangan estrogen menyebabkan osteoporosis yang disebabkan peningkatan osteoclastogenesis oleh tekanan oksidatif sehingga membawa kepada penyerapan kalsium dan mineral lain daripada tulang ke darah.
Kajian terbaharu mendapati bahawa pati daun kaduk mempunyai keupayaan untuk menghalang ungkapan dan aktiviti 11-HSD1 dalam tisu adipos dan tulang, sekali gus memulihkan struktur tulang.
Ia juga mempercepatkan penyembuhan tulang patah apabila estrogen berkurangan melalui sifat antioksidannya.
Kos rawatan konvensional adalah tinggi, malah terdapat kesan sampingan dalam ubat-ubatan sedia ada di pasaran.
Dr. Elvy Suhana berkata, rawatan menggunakan herba mempunyai potensi dan perlu diterokai kerana ia bukan sahaja murah bahkan tidak mempunyai kesan sampingan yang memudaratkan.
tulan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan